Sepuluh rekod baru dicipta dalam acara olahraga Para Sukma Perak 2018 di Stadium Perak, hari ini.

Kecuali satu, iaitu acara lompat jauh wanita F11 (cacat penglihatan), selebihnya adalah catatan baru acara 100 meter.

Nur Athirah Voon Abdullah dari Sarawak mencipta dua rekod baru bagi acara 100m dan lompat jauh wanita F11.

Nur Athirah melakukan lompatan sejauh 3.96 meter ketika memperbaiki catatan lama 2.95m dalam acara lompat jauh tatkala Noorhaslin Rosidi Sabri (Kuala Lumpur) menduduki tempat kedua dan Sandra Tiong (Sarawak) ketiga.

Atlet itu kemudian memulangkan catatan 15.70s untuk memperbaki masa lama 15.92s dalam acara 100m, sekali lagi mengatasi Noorhaslin dan Sandra.

Rekod lama acara 100m lelaki T11 (cacat penglihatan) musnah di tangan Filemon Lirong Dionisus dari Sarawak yang mencatat kepantasan 12.64s.

Atlet para kebangsaan, Muhammad Afiq Mohamad Ali Hanafiah, berada dalam kelas sendiri ketika nencatat masa baru acara 100m lelaki T12 (cacat penglihatan) dengan catatan 11.40s berbanding masa lama 11.58s.

Turut cemerlang hari ini ialah seorang lagi atlet kebangsaan berusia 38 tahun, Mohd Sobri Ghazali dari Kedah yang memperbaharui rekod kejohanan acara 100 meter T35 (cerebral palsy-berdiri)
apabila mencipta catatan 13.79 saat berbanding masa lama 15.18s.

Atlet Perlis, Lalitta a/p Boon Ong, mengatasi masa lama acara 100m wanita T12 dengan perbezaan 0.74s selepas mencatat 14.00s.

Dalam masa sama, Jacklon Ganding dari Sabah ternyata terlalu pantas buat peserta lain dalam acara 100m T37 (cerebral palsy berdiri) dengan masa 12.39s berbanding masa lama 12.92s.

Atlet kebangsaan dari Terengganu, Ahmad Solihim Mohd Noor, mencipta rekod baru acara 100m lelaki T46 (cacat anggota atas pinggang) dengan catatan 11.62s untuk mengtasi masa lama 11.84s. Peserta tempat kedua Eryanto Bahtiar (Sabah) turut mengatasi masa lama itu dengan 11.81s.

Turut diperbaharui ialah catatan acara 100m lelaki T47 (cacat anggota atas pinggang) apabila atlet Kelantan, Muhammad Fahmin Fathi Zulkifli, mencatat kepantasan 11.73s berbanding masa lama 12.66s.

Nurul Fazirai Mat Husin mencita rekod baru acara 100m wanita T47 dengan cataran 14.43s mengatasi catatan lama 14.62s.