Para Sukma: Nama Gustin dominasi saingan di Perak

Oleh Staff Writer 25 November 2018 138
Para Sukma: Nama Gustin dominasi saingan di Perak
Keluarga Gustin mencuri tumpuan pada hari pertama acara powerlifting Para Sukma 2018 di Perak selepas Bonnie Bunyau Gustin dan Bryan Junency Gustin mengungguli kategori masing-masing selain memecahkan rekod kejohanan.

Bonnie, yang juga pemegang rekod dunia remaja bagi kategori 65 kilogram, tidak berdepan sebarang kesukaran ketika saingan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Sukan Negeri Perak, hari ini

Angkatan pertamanya seberat 150kg menyaksikan dia memecahkan rekod kejohanan 148kg yang dilakukan oleh Vison Jasni dua tahun lalu.

Dia terus konsisten selepas itu apabila menambah beban dengan percubaan ketiga, iaitu 170kg, sehingga menjadi rekod baru Para Sukma.

Pingat perak dimenangi atlet tuan rumah, Zulfikal Nor Azizi, manakala Muhammad Ata Maarof dari Johor membawa pulang gangsa.

Bagi kategori 72kg, Bryan turut memecahkan rekod kejohanan menerusi angkatan 153kg dalam percubaan pertama, mengatasi catatan 143.5kg oleh Mat Hussein Mat Noh.

Ternyata catatan itu sukar ditandingi pencabar lain tatkala hasrat Bryan untuk meningkatkan beban kepada 165kg gagal membuahkan hasil tetapi sudah memadai untuk dirinya meraih emas.

Muhammad Syalqi Mohd Shikri dari Perlis terpaksa berpuas hati dengan perak selain gangsa dimenangi atlet Kedah, Mohamad Zaki Ismail.

Melengkapkan kejayaan itu sudah pasti bapa mereka, Gustin Jenang, yang menjuarai kategori 59kg lelaki dengan catatan 125kg yang menjadi rekod baru kejohanan.

"Ini hari yang bertuah untuk kami bertiga meraih emas. Untuk aksi seterusnya, kami akan cuba buat yang lebih baik," ujar Gustin.

"Memang saya rasa gemuruh tetapi tetap yakin," tambah Bryan.

"Prestasi tahun ini agak baik berbanding edisi sebelum ini. Dulu saya hanya meraih perak," kata Bonnie.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen