Para Sukma: Masih ada jurang dalam kalangan atlet -- Safrusahar

Oleh Staff Writer 29 November 2018 64
Para Sukma: Masih ada jurang dalam kalangan atlet -- Safrusahar
Pengarah Bahagian Paralimpik, Majlis Sukan Negara (MSN), Safrusahar Yusuf, mengakui masih ada jurang yang perlu diperhalusi apabila memperbandingkan kualiti atlet para bertaraf kebangsaan dan negeri selepas tamat Para Sukma Perak 2018, semalam.

Para Sukma 2018 menyaksikan jumlah penyertaan yang menggalakkan dengan  lebih 1,300 atlet yang turut merangkumi atlet kebangsaan.

Kehadiran mereka menjadi sandaran utama buat kontinjen negeri masing-masing dalam pemburuan pingat.

Ia tidak mengejutkan sekiranya terdapat dalam kalangan atlet kebangsaan itu mendominasi acara masing-masing, namun Safrusahar berpandangan terdapat juga atlet negeri yang mampu memberikan saingan.

"Saya akui mereka masih gagal menandingi atlet kebangsaan, namun saya melihatnya sebagai satu permulaan yang baik.

"Ia merupakan batu loncatan untuk mereka lebih menyinar pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Safrusahar turut berpandangan perlu ada satu ketetapan khas daripada segi had umur buat atlet yang mengambil bahagian.

Edisi tahun ini tidak mempunyai sebarang syarat daripada segi had umur, namun tumpuan lebih diberikan kepada atlet muda selaku pelapis kepada generasi ketika ini.

Bagaimanapun, edisi seterusnya di Johor dijangka akan memperketatkan syarat itu dalam memastikan saingan lebih seimbang, dua tahun lagi.

"Sukan Para Sukma yang akan datang memerlukan had umur.

"Ia perlu dilakukan untuk kami melihat lebih banyak bakat muda yang akan menyinar di pentas para negara pada masa akan datang," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen