Lima acara, iaitu boccia, badminton, catur, boling tenpin dan ping-pong akan menyingkap tirai Sukan Para Sukma Perak 2018 yang bermula esok.

Tidak seperti Sukma yang diadakan di daerah-daerah, Para Sukma hanya diadakan di sekitar bandaraya Ipoh, khususnya di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Boccia berlangsung di Dewan Gimnasium, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak (JBS), badminton di Arena Badminton Perak, Kompleks Sukan MBI, Ipoh manakala catur akan dilangsungkan di Dewan Serbaguna JBS dan ping pong di Stadium Indera Mulia. Boling tenpin berlangsung di Ampang Superbowl, Ipoh Parade.

Sebanyak 10 acara dipertandingkan yang menyaksikan 384 pingat emas dan perak serta 436 pingat gangsa menjadi rebutan.

Acara-acara lain adalah boling padang, olahraga, memanah, powerlifting dan renang.

Secara keseluruhan, seramai 2,507 orang, termasuk atlet, jurulatih, pengurus pasukan, pegawai teknikal dan pengiring terlibat dalam temasya dwi-tahunan itu yang akan berakhir Rabu depan.