Para Sukma: Kejayaan atlet normal pemangkin semangat Terengganu

Oleh Penulis Jemputan 23 November 2018 77
Para Sukma: Kejayaan atlet normal pemangkin semangat Terengganu
Persembahan cemerlang kontinjen Terengganu mengungguli Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018  memberi suntikan semangat buat kontinjen para mereka untuk meraih pencapaian lebih baik dalam Sukan Para Sukma 2018 bermula esok.

Sukma 2018 menyaksikan Terengganu membuktikan kemampuan mereka dengan mengungguli kutipan pingat untuk bergelar juara keseluruhan, September lalu.

Semangat itu cuba dibawa kontinjen para mereka dengan sasaran utama sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian di Sarawak, dua tahun lalu.

Ketika itu, Terengganu meraih tempat ketiga keseluruhan dengan 30 pingat emas, 24 perak dan 19 gangsa.

Seramai 78 atlet akan membawa cabaran kali ini dengan wakil kontinjen, Fikri Mahmud, mengakui juara bertahan, Sarawak, tetap menjadi pilihan utama berdasarkan persiapan serta kekuatan keseluruhan kontinjen mereka.

"Semangat tersebut sememangnya dibawa kontinjen kami.

"Bagaimanapun, Sarawak tetap kuasa besar dalam sukan para.

"Kami akan mencuba yang terbaik untuk sekurang-kurangnya menduduki kedudukan ketiga terbaik keseluruhan," katanya

Sandaran utama Terengganu bagi memburu emas dalam edisi kali ini terarah kepada acara ping pong.

Mereka bakal diperkuatkan atlet kebangsaan, Mohamad Azwar Bakar, selain Mohd Razak Che Awang, Farahidatul Akmal Ilias dan Asrol Hashim.

Bagaimanapun, reputasi Azwar yang pernah mewakili Malaysia dalam Sukan Paralimpik Rio 2016 menyaksikan dia hanya dibenarkan beraksi dalam satu acara dalam Para Sukma kali ini.

"Atlet yang pernah mewakili negara di peringkat Paralimpik tidak dibenarkan menyertai lebih daripada satu acara.

"Dengan itu, hanya satu pingat emas yang mampu ditawarkan Azwar dalam edisi kali ini," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen