Ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, tidak pening kepala kerana mempunyai senarai atlet yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan menjelang tahun depan.

Jeganathan meluangkan masa dalam Para Sukma Perak 2018 bagi meneliti beberapa atlet baru yang mampu untuk diketengahkan ke peringkat tertinggi.

Berdasarkan pemerhatiannya, ada beberapa atlet yang dilihat mempunyai kualiti untuk sekurang-kurangnya memberikan cabaran di rantau Asia Tenggara.

Mereka bakal diserapkan ke dalam skuad kebangsaan untuk menghadapi Sukan Para Asean di Filipina pada awal 2020.

"Banyak bakat-bakat baru muncul dengan rekod-rekod kejohanan turut dipecahkan.

"Ia memudahkan saya dalam proses pemilihan untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan," katanya.

Sementara itu, Jeganathan turut merancang untuk menghantar beberapa atletnya menjalani latihan di luar negara sebagai persediaan untuk beberapa tugasan utama, tahun depan.

Antara lokasi yang menjadi pilihannya adalah Australia dengan tumpuan diberikan kepada atlet yang akan mengharungi Kejohanan Dunia di samping memburu slot kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Tumpuan kami adalah kepada Kejohanan Dunia pada Oktober di mana lapan atlet akan membawa cabaran negara.

"Kami perlu memberikan tumpuan kepada mereka dalam latihan di dalam dan luar negara," tambahnya.