Atlet memanah recurve para Pahang, Ahmad Jaffri Jamaluddin, bertekad mahu mengekalkan momentum di pentas antarabangsa menjelang penyertaannya dalam saingan Para Sukan Malaysia (Sukma) 2018 Perak.

Jaffri merupakan antara pemanah yang mewakili negara dalam Sukan Para Asia di Indonesia, bulan lalu.

Walaupun tidak membawa pulang sebarang pingat, dia mempamerkan aksi konsisten, termasuk menduduki tangga kedua pusingan ranking sebelum cabarannya tersekat dalam suku akhir selepas tewas kepada pemanah China, Zhao Lixue.

Kini tumpuannya terarah ke Para Sukma sambil mahu mengekalkan rentak menuju 2019 kerana misi utama adalah cuba untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Saingan di Perak merupakan penyertaan ketiga Jaffri dalam saingan Para Sukma dengan pencapaian terbaiknya ialah dua tahun lalu di Sarawak di mana dia meraih satu pingat perak dan satu gangsa.

"Untuk sasaran saya, ia lebih kepada mengekalkan prestasi. Kalau boleh mahu tingkatkan lagi bagi mengekalkan momentum menuju 2019.

"Masih ada dua hari untuk mempersiapkan diri dan setakat ini, mungkin sudah 95 peratus bersedia," kata Jaffri.

Atlet memanah para berpeluang menjalani sesi latihan rasmi di venue pertandingan yang bertempat di Stadium Mini Ragbi, Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bermula semalam.

Menurut Jaffri, suasana di venue itu amat berbeza dengan keadaan angin di luar jangkaan tetapi yakin dapat menyesuaikan diri dengan segera menjelang hari pertandingan bermula Ahad ini.

"Suasana dan cuaca bagus. Semalam baru mula sesi pemanas badan.

"Angin memang ada tetapi mungkin tidak memberi kesan besar."