Atlet badminton para Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Huzairi Abdul Malek, percaya dia berada di landasan tepat untuk memburu emas berganda dalam Para Sukma 2018 di Perak.

Huzairi, yang juga atlet para negara, turun beraksi dalam saingan Para Sukma buat kali keempat berturut-turut, petang tadi.

Dua tahun lalu di Sarawak, dia meraih pingat emas bagi saingan perseorangan SL3-SL4 dan membawa pulang pingat perak acara beregu.

Dia menepati ramalan untuk mara ke final bagi kedua-dua acara itu dan beretekad mahu memastikan kejayaan memihak dirinya dalam pertemuan esok

"Saya mempunyai keyakinan yang tinggi dalam acara beregu berbanding acara perseorangan.

"Bagaimanapun, saya masih berpuas hati dengan prestasi saya dalam acara perseorangan setakat ini," katanya.

Bagi saingan beregu, Huzairi bersama Md Radhi Juhari, tidak berdepan kesukaran untuk mara ke final selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Raja Rashid Raja Yusuf dan Wan Ahmad Kamil Wan Zainal Adzwan, 21-11, 21-19.

Mereka akan berdepan pilihan utama dari Sarawak, Aziz Mulaina Muhammad Daud-Nik Ariffen Putit, dalam penentuan emas, esok.

"Saya akui berasa gugup, namun semangat yang diberikan rakan segandingan banyak membantu saya.

"Saya sudah lama melakukan persediaan dan kejayaan dalam temasya ini dapat membantu saya menambah keyakinan untuk menghadapi kejohanan antarabangsa yang akan datang," tambahnya.