Empat rekod baru dicipta pada hari terakhir, menjadikan 14 rekod baru dalam acara renang Para Sukma Perak 2018 di Pusat Akuatik Tuanku Zara, Ipoh, hari ini.

Dua peserta Sarawak serta dua lagi dari Sabah dan Negeri Sembilan muncul wira negeri masing-masing dengan persembahan bertenaga ketika meraih pingat emas.

Begitupun, hasrat menyaksikan atlet Kedah, Puteri Nur Diyana Megat Mohd Fadzli, meneruskan penguasaan selepas mencipta tiga rekod baru semalam, tidak kesampaian apabila gagal memecah rekod acara 100m kuak kupu-kupu wanita S14.

Walaupun meraih pingat emas keempat peribadinya, namun catatan 1 minit 45.06 saat belum mencukupi buat Nur Diyana memecah rekod lama acara itu.

Atlet pertama memecah rekod hari ini ialah Abdul Halim Mohammad dari Sabah dalam acara 50 meter gaya bebas lelaki S9.

Halim, 21, melakukan catatan 29.71s untuk mengatasi rekod lama 32.27s pada 2014.

Anas Zul Amirul Sidi memberikan pingat emas kedua Negeri Sembilan ketika mencipta rekod baru acara 100m kuak kupu-kupu lelaki S14 dengan kepantasan 1:04.80s mengatasi catatan 2016, 1:09.48s.

Fraidden Dawan turut mencipta rekod baru dalam acara 100m kuak kupu-kupu lelaki S10-S9 dengan catatan 1:08.84s, mengatasi catatan 1:09.07s pada 2012.

Sarawak muncul juara keseluruhan acara renang dengan meraih 18 emas, 23 perak dan tujuh gangsa.

Pulau Pinang di tempat kedua dengan tujuh emas, enam perak dan empat gangsa, mengatasi Sabah yang meraih enam emas, tiga perak dan empat gangsa di tangga ketiga.