Atlet renang para Pulau Pinang, Yoong Chung Wei, meneruskan rentak konsisten di Pusat Akuatik Tuanku Zara, Ipoh, Perak, hari ini apabila meraih pingat emas peribadi keduanya dalam Para Sukma 2018.

Selepas memecahkan rekod kejohanan dalam acara 100 meter kuak dada SB14 dan SB5-SB4, Chung Wei sekali lagi menjadi tumpuan pada hari terakhir saingan renang.

Turun beraksi dalam acara 200m gaya bebas SM14, Chung Wei ditempatkan dalam final kedua.

Nyata, catatan 2 minit 33.35 saat yang dilakukannya sukar ditandingi oleh pencabar lain dalam tiga final keseluruhan yang diadakan, sekali gus menyaksikan Chung Wei meraih emas.

Pingat perak menjadi milik perenang Negeri Sembilan, Anas Zul Amirul Sidi, dengan catatan 2:35.11s.

Melengkapkan kedudukan podium adalah Kho Zen Wei dari Sarawak yang terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

"Saya amat gembira dapat memenangi satu pingat emas. Cabaran begitu sengit tetapi saya lebih fokus kepada kemampuan diri sendiri untuk menjadi yang terpantas," ujar Chung Wei.

Sementara itu, atlet Sarawak, Rusdianto Rusmadi, cemerlang dengan memecahkan rekod kejohanan bagi acara 200m rampaian lelaki SM7-SM8.

Dia yang mempunyai permulaan baik mengekalkan rentak berkenaan untuk menamatkan saingan selaku juara dengan catatan 3:31.63s.

Ia mengatasi rekod kejohanan, 4:23.86s, yang dilakukan Hairul Tuah pada 2010.

Pingat perak serta gangsa dimenangi atlet Sarawak, David Wangyu Kolek dan Muhd Nur Syaiful Zulkafli.