Dua atlet ping pong para negara, Mohamad Azwar Bakar serta Chee Chao Ming, menepati ramalan apabila menjuarai acara individu kategori masing-masing dalam Para Sukma 2018 di Perak.

Azwar, yang pernah mewakili negara ke temasya Paralimpik Rio 2016, tampil cemerlang bagi kategori berdiri perseorangan lelaki kelas 10.

Membawa cabaran kontinjen Terengganu, dia turun berdepan Hamazrul Hassan Basri bagi penentuan pingat emas dalam saingan yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

Ternyata kelebihan memihak Azwar kerana dalam aksi peringkat kumpulan semalam, dia menewaskan lawannya itu.

Seperti dijangka, kisah serupa turut berulang ketika final apabila dia mencatat kemenangan straight set 11-6, 12-10, 11-3 untuk mengesahkan kejuaraan.

Ini merupakan emas keenam buat Azwar sepanjang pembabitannya dalam Para Sukma sejak edisi 2012 di Pahang.

"Saya berpuas hati dengan prestasi yang dapat ditampilkan. Setakat ini, separuh akhir tidak begitu tertekan dan ketika final, saya berdepan lawan yang pernah diharungi ketika peringkat kumpulan, Selangor.

"Memang agak sukar tetapi saya lebih bersedia. Syukur saya berjaya," kata Azwar.

Bagi Chao Ming, dia menewaskan bekas pemain para negara yang mewakili Perak, Hong Chin Sing, bagi penentuan emas kategori berdiri perseorangan lelaki kelas sembilan.

Masih segar dengan kejayaan meraih emas acara beregu ketika Sukan Para Asia Indonesia, bulan lalu, Chao Ming mengekalkan rentak berkenaan dalam kategori tunggal yang disertainya di Perak.

Meskipun pengalaman lebih memihak kepada Chin Sing, ia tidak menggugat corak permainan Chao Ming yang menutup pertemuan itu dengan kemenangan straight set.

"Saya datang tiga hari dan dua hari pertama tidak begitu baik. Aksi hari ini lebih baik dan tidak begitu tertekan," ujar Chao Ming.

"Saya serius berdepan dengan Chin Sing kerana dia lebih berpengalaman."