Saingan olahraga Para Sukma 2018 menyaksikan pingat emas peribadi kedua diraih oleh atlet Johor, Afiq Ali Hanafiah.

Kali ini, ia hadir menerusi acara 400 meter T12 lelaki selepas dia merekodkan 55.56 saat, sekali gus memperbaharui rekod temasya sebelum ini, iaitu 56.57s.

Beraksi dalam final kedua, Afiq diberikan tentangan hebat oleh wakil Kelantan, Muhammad Affizatrizuan Mohd Zabi, sebelum menamatkan saingan selaku juara.

Gangsa menjadi milik Ahmad Husni Sirullah Azime yang mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Afiq mengakui cabaran lebih sukar buat dirinya kerana sudah lama tidak menyertai acara 400m dalam kejohanan utama sehingga memerlukan sedkit masa untuk menyesuaikan diri dengan rentak larian.

Dia masih mempunyai satu lagi acara esok, iaitu 200m, dan sudah pasti bertekad ingin melengkapkan koleksi hatrik emas dalam edisi kali ini.

"Kami tidak tahu berapa tahap kelajuan lawan dalam final kerana ia final kedua. Namun, strategi saya hanya mahu memberi aksi terbaik dari awal saingan.

"Dalam 150 meter, saya tambah kelajuan tetapi tenaga sudah habis. Saya berpuas hati dapat mencatat masa peribadi terbaik dalam 400m kerana sebelum ini hanya meraih 57.00s," katanya.