Mesyuarat Exco Persekutuan Sukan Para ASEAN (APFSF) yang diadakan hari ini masih belum mencapai kata putus untuk mengumumkan senarai akhir jumlah sukan dan acara yang bakal dipertandingkan dalam Sukan Para ASEAN 2017.

APSF seharusnya mengumumkan senarai akhir itu hari ini, namun kesemua negara anggota masih lagi bersidang untuk meneliti segala rayuan.

Bagaimanapun, chef-de-mission negara ke Sukan Para ASEAN, Datuk Subramaniam Raman Nair, memberi gambaran jumlahnya akan lebih daripada yang dipertandingkan di Singapura dua tahun lalu.

"Saya boleh katakan jumlah acara akan meningkat di antara 16 hingga 17. Di Singapura, ada 15 acara. Jadi, apa yang pasti, kami tidak akan mengadakan kurang daripada yang dianjurkan di Singapura," jelasnya.

Tegas Subra lagi, pemilihan jumlah sukan adalah amat penting kerana ia tidak boleh diubah selepas dimuktamadkan.

Tambahnya, sukan teras seperti olahraga dan renang pasti tersenarai, cuma belum ditentukan kategori dan jumlah acara dipertandingkan.

"Kementerian Belia dan Sukan telah meletakkan sasaran di mana mereka mahu kita mencapai kedudukan lebih baik berbanding tempat keempat sebelum ini," katanya.