Ratu terjun negara, Pandelela Rinong, mengesahkan dia tidak akan beraksi dalam mana-mana kejohanan sehingga hujung tahun ini kerana masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan bahu yang dialaminya ketika Sukan Olimpik Rio.

Keputusan yang telah dibuat Pandelela bermakna dia tidak akan beraksi bersama pasukan negara dalam dua saingan Kejohanan Terjun Grand Prix FINA, iaitu di Kuching pada 21 Oktober, dan Tokyo, pada 25 Oktober.

Tidak mahu mengambil risiko kecederaan berulang, Pandelela mahu pulih 100 peratus sebelum kembali beraksi.

Justeru, tempoh rehat tiga bulan akan lebih menjurus kepada program pemulihan dan meneruskan pengajiannya.

"Lebih baik saya terus kekal di sini dan berlatih serta menjalani sesi pemulihan sehingga Disember untuk memastikan kecederaan berada di tahap minimum.

"Sekarang pasukan menjalani latihan di China dan yang tinggal di Malaysia untuk berlatih ialah saya, Nur Dhabitah dan juga Leong Mun Yee," katanya

Berdasarkan ranking Persekutuan Akuatik Antarabangsa (FINA), Pandela berada di kedudukan keempat dunia bagi acara 10 meter platform.

Tidak menyertai sebarang kejohanan hingga hujung tahun ini, kedudukan itu boleh digugat oleh penerjun Kanada, Meaghan Benfeito, yang kini berada di ranking kelima.

"Saya berasakan apa yang penting ialah keseimbangan. Sudah tentu saya mahu meningkatkan lagi kekuatan fizikal saya dan saya percaya saya mampu untuk mengejarnya."