Tambahan biasiswa pengajian selama setahun oleh Universiti Malaya (UM), kepada atlet terjun negara, Pandelela Rinong, menjadikan dirinya kini bersemangat untuk lebih serius kepada sesi pembelajaran selepas ini.

Pandelela yang kini berada di semester tujuh jurusan Sains Sukan, menyifatkan dirinya sudah terlalu lama menangguhkan pengajian demi fokus terhadap karier sukan, lebih-lebih lagi untuk temasya Olimpik Rio tempoh hari.

Namun, dia berterima kasih kepada pihak UM kerana memahami dan akan memastikan tambahan biasiswa yang diperoleh itu berbaloi untuknya berusaha menamatkan pengajian dalam masa dua tahun lagi.

"Sebagai seorang atlet yang bukan hanya sibuk dengan jadual latihan tetapi juga pertandingan.

"Sebagai seorang pelajar di UM, saya juga perlu belajar dengan bersungguh-sungguh supaya dapat membalas jasa universiti," ujar Pandelela

Setakat ini, pemenang pingat perak Olimpik Rio itu tidak terlibat dengan mana-mana kejohanan, dan hanya akan kembali bersedia untuk Siri Terjun Dunia yang akan berlangsung pada Mac 2017.

"Selepas ini saya akan menyambung pengajian di UM, selain melakukan sesi pemulihan kecederaan dan juga meneruskan latihan."

Turut menerima penghargaan adalah enam lagi atlet Olimpik selaku penuntut UM, iaitu Wendy Ng Yan Yee, Ahmad Amsyar Azman, Nauraj Singh, Haziq Kamaruddin, Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei.