Kejayaan meraih satu emas dan satu perak dalam Kejohanan Terjun Grand Prix (GP) FINA di Gold Coast, Australia menambahkan lagi keyakinan buat Pandelela Rinong untuk tampil dengan aksi lebih baik dalam Sukan Komanwel dari 4 hingga 15 April 2018.

Saingan di Gold Coast pada minggu lalu merupakan siri terakhir GP tahun ini, namun ia tidak disertai penerjun China.

Ia sekaligus membuka peluang buat Pandelela untuk mengungguli acara kegemarannya, iaitu 10m platform individu.

Selain itu, dia juga memperoleh pingat perak bagi acara 10m platform seirama bersama Leong Mun Yee.

"Masih ada lagi penerjun-penerjun dari negara Komanwel yang beraksi dan mereka memberikan tentangan sengit dalam aksi final. Tetapi saya gembira dapat memenangi acara kegemaran saya, 10m platform.

"Sudah tentu ia akan menjadi satu persiapan yang baik untuk saya menghadapi Sukan Komanwel pada tahun depan," katanya.

Terdahulu, Pandelela menerima Anugerah Ikon Sukan Yakult 2017 sejurus ketibaannya bersama skuad terjun negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), hari ini.

Anugerah itu adalah susulan persembahan cemerlang yang dipamerkannya sepanjang tahun ini dan ia disampaikan Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada.

"Ini kali pertama saya menerima anugerah tersebut dan berasa sangat gembira. Saya akan melakukan lebih baik dan anugerah ini menjadi pembakar semangat buat saya," tambahnya.

Pandelela menerima trofi, sijil penghargaan serta tajaan Yakult selama enam bulan.

Dia merupakan atlet kedua yang menerima anugerah itu selepas pemain bola sepak bawah 22 tahun negara, N. Thanabalan.