Ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg, kini sedang dalam proses pemulihan berikutan kecederaan berulang yang dialaminya.

Menurutnya, dia hanya akan kembali membuat terjunan intensif pada Januari depan sebagai persediaan menghadapi saingan Siri Terjun Dunia FINA, yang akan diadakan di Beijing dan beberapa negara lain.

"Saya memerlukan rehat yang panjang bagi merawat kecederaan pada bahagian belakang dan bahu saya," katanya ketika ditemui di Kuching.

Pandelela menjelaskan kecederaan itu adalah kesakitan lama dan sentiasa berulang sekiranya dia menjalani latihan serius dan tidak mendapat rehat yang secukupnya.

"Justeru, selepas Sukan Olimpik, saya bertekad untuk berehat panjang, termasuk tidak menyertai Grand Prix Dunia FINA biarpun dianjurkan di kampung halaman saya sendiri," katanya.

Pandelela menambah dengan rehat yang panjang sehingga Januari depan, dia berharap kecederaannya akan pulih seperti sedia kala dan pada tahun hadapan, dia akan dapat beraksi dengan lebih baik dalam banyak kejohanan kompetitif.

"Ketika ini, saya menjalani latihan ringan dan berbentuk pemulihan bagi mengekalkan kecergasan.

"Pada masa yang sama, saya memberikan tumpuan kepada kuliah dan pembelajaran di universiti," kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu.

Jelasnya, selepas ini, jadual latihannya akan kembali ketat berikutan beberapa pertandingan antarabangsa yang akan disertainya, termasuk sasaran emas dalam Sukan SEA di Kuala Lumpur, 19-31 Ogos tahun depan.

Mengulas kejohanan antarabangsa yang dianjurkan di Kuching, Pandelela beranggapan ia tindakan yang tepat kerana sukan terjun semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda tempatan di Bumi Kenyalang.

"Melihat aksi atlet-atlet antarabangsa dan ternama pasti akan menyuntik semangat kepada atlet-atlet muda negeri ini untuk berlatih dengan lebih gigih pada masa depan dan mencipta kejayaan cemerlang," tambahnya.

Kejohanan tersebut, kata Pandelela, mengimbau pengalaman dirinya ketika pertama kali beraksi dalam Kejohanan Terjun Peringkat Umur Asia di Jakarta pada tahun 2007.

"Ketika itu, saya tersangat gembira dan teruja, bukan sahaja kerana pertama kali bertanding di luar negara, malah kerana diperhati oleh ramai penduduk tempatan. Lebih ramai lebih mengujakan."