Jaguh terjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong akan berentap lebih awal daripada yang dijangkakan, Persekutuan Renang Malaysia (Malaysia Swimming) merancang penganjuran Kejohanan Terjun Kebangsaan 7 dan 8 November ini di mana ia akan menjadi kejohanan pertama pasca Pandemik Covid-19.

Kejohanan yang bakal dianjurkan di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil akan menjadi pemanas badan untuk Piala Dunia Tokyo, Jepun selaku kelayakan terakhir ke Sukan Olimpik, tahun depan.

Ia bakal membabitkan penerjun yang bakal menyertai Sukan Malaysia (Sukma) Johor.

Namun, pertembungan yang dinantikan sudah pasti membabitkan Pandelela dan Jun Hoong dalam acara 10 meter individu platform.

Ini kerana jurulatih negara, Yang Zhuliang, bersetuju untuk membenarkan Jun Hoong beraksi sekali gus akan menjadi kejohanan sulung sejak April 2018 ekoran kecederaan lutut.



"Saya berasakan ia adalah langkah yang tepat selepas mereka sudah lama tidak menyertai sebarang kejohanan. Jadi ia akan dijadikan sebagai penanda aras perkembangan Jun Hoong dan Pandelela hasil latihan yang telah dijalani sebelum ini.

"Terdapat beberapa elemen yang hanya boleh ditingkatkan menerusi penyertaan dalam kejohanan," kata Zhuliang.