Ratu terjun negara, Pandelela Rinong, serta atlet berbasikal trek sensasi Malaysia, Azizulhasni Awang, menerima pingat Ahli Mangku Negara (AMN) sempena Ulangtahun Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Pandelela dan Azizul menerima penganugerahan itu dalam istiadat yang berlangsung di Balairong Seri, Istana Negara, hari ini.

Pemenang pingat perak acara terjun 10 meter platform seirama wanita, Pandelela, serta pemenang pingat gangsa acara berbasikal keirin lelaki di Sukan Olimpik Rio 2016, Azizulhasni, merupakan antara 85 penerima anugerah AMN.

Seramai 303 individu keseluruhan menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan 2016 kali ini.

Turut berangkat ke istiadat tersebut, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.