Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) tetap akan membantu atlet negara, Mohd Hafifi Mansor, dalam proses pendengaran yang bakal dilakukan nanti selepas keputusan positif ujian sampel B miliknya diumumkan secara rasmi oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF), Khamis ini.

Meskipun keputusan positif ujian sampel B itu masih belum diumumkan secara rasmi oleh IWF, Hafifi sendiri sudah menjangkakan nasib yang bakal menimpanya.

Dan seperti yang diinginkan oleh Hafifi, PABM akan cuba membantu untuk meminta pengurangan tempoh hukuman empat tahun yang ditetapkan atas kesalahan doping jenis
oxymetholone selepas selesai proses pendengaran punca sebenar pengambilan bahan terlarang itu.

Bagaimanapun, pintu sentiasa terbuka untuk pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 itu, tidak kira berapa lama tempoh hukuman yang perlu dijalaninya.

“Berdasarkan jenis dadah yang diambil oleh Hafifi, hukumannya adalah empat tahun. Kami akan melihat punca dadah itu berada dalam sistem badan Hafifi sebelum membuat sebarang rayuan,” kata pemangku Setiausaha Kehormat PABM, Abu Hanapah Ismail.

Apa yang pasti, persediaan awal menjelang Sukan Komanwel ternyata tidak berjalan seperti dirancang gara-gara kes berkenaan dan mengharapkan skuad angkat berat negara tetap berusaha meraih sesuatu di Gold Coast walaupun tanpa Hafifi.

“Persiapan skuad angkat berat terjejas kerana apa yang telah berlaku kepada Hafifi. Ketiadaan Hafifi bermakna Malaysia akan kehilangan satu pingat emas dalam saingan di Gold Coast nanti,” katanya.