Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) terlepas daripada hukuman Pesuruhjaya Sukan (PJS), Datuk Zaiton Othman, biarpun badan induk itu mencatatkan sekurang-kurangnya tujuh kes doping, termasuk dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak.

PABM boleh menarik nafas lega kerana sekurang-kurangnya mereka terlepas daripada hukuman PJS apabila berlaku lambakan kes doping angkat berat.

Ia tidak termasuk pengumuman kes doping terbaru yang akan dilakukan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) esok dan dijangka terdapat atlet terbaru yang positif bahan terlarang.

"PJS tidak akan memberikan hukuman kepada PABM tetapi badan induk antarabangsa sukan angkat berat berkemungkinan memberikan amaran ataupun denda," kata Zaiton.

Minggu lalu, ADAMAS mengumumkan dua atlet angkat berat positif bahan jenis methylhexaneamine, sejenis perangsang yang boleh meningkatkan degupan jantung dan mengurangkan berat badan.

Selain angkat berat, atlet sukan judo dalam Sukma Perak turut dijangka terbabit dalam pengumuman esok.

Sementara itu, rata-rata syarikat swasta membantah perancangan PJS merancang mengenakan lesen bagi menganjurkan sebarang program sukan di dalam dan luar negara.

Harga lesen itu membabitkan RM1,000 untuk program dalam negara sementara luar negara, RM2,000.

Apa yang dipertikaikan, penganjur sudah menanggung banyak kos lain, termasuk yuran pengiktirafan yang mencecah ratusan ribu ringgit yang dibayar kepada persatuan sukan kebangsaan.

Cadangan itu disuarakan dalam dialog sempena sesi pindaaan Akta Pembangunan Sukan 1997 (pindaan 2018).

"Saya boleh memberikan jumlah wang yang ditetapkan, sama ada RM1000 atau pun RM50,000 tetapi dengan bayaran tersebut, apakah yang mampu diberikan oleh pihak PJS?

"Adakah bayaran ini mampu meningkatkan mutu sesebuah penganjuran sukan?," kata wakil syarikat swasta, Julie Wong.