Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) membuat keputusan drastik dalam mesyuarat khas apabila melarang atlet yang pernah positif doping daripada menyertai Sukan Malaysia (Sukma) atau mewakili negara.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat, mempertahankan keputusan yang dianggap keterlaluan itu
selepas mencapai kata sepakat dalam mesyuarat khas menerusi persidangan video hari ini.

Larangan terhadap atlet yang pernah mencatat kes positif doping dilihat terlalu keras memandangkan majoriti daripada mereka masih muda.

Begitu juga dengan larangan terhadap bekas badang negara yang pernah memiliki rekod cemerlang untuk kembali ke pangkuan skuad kebangsaan.

"Sekarang merupakan proses untuk kami memberi keyakinan kepada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).

"Kami diperhatikan dan kalau kami masih mengambil sikap sambil lewa dan tidak bertegas dengan keputusan yang dibuat, kami bimbang kes-kes sedemikian timbul lagi.

"Lebih malang kalau ia dilakukan oleh atlet yang pernah gagal doping.

"(Jadi) kami ambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan reputasi yang tercalar ini dapat dipulihkan.

"Atlet punahkan diri sendiri. Kalau tidak mengapa sebelum ini tidak berjaga-jaga kes itu," katanya ketika dihubungi wakil Nadi Arena, Bazly Azmi.

Minggu lalu, IWF menggantung PABM sehingga April tahun depan selain tidak membenarkan atlet negara untuk bertanding di peringkat antarabangsa dan Sukan Olimpik Tokyo 2021.

Tambahnya lagi, PABM juga akan terus dituding sekiranya isu doping masih membelenggu sukan itu.

"Apabila kami buat satu tindakan, orang akan kasihankan atlet dan mempertikaikan mengapa tiada peluang kedua buat mereka.

"Ini semua merupakan antara perkara-perkara yang akan ditimbulkan dan kami tetap dengan keputusan yang dibuat.

"Kami berasakan adalah lebih baik kami memanjangkan permohonan kepada IWF agar mempertimbangkan larangan atlet Malaysia daripada ditarik peluang untuk ke Sukan Olimpik.

"Dalam keadaan sekarang, kami minta mereka diberikan peluang untuk memungut mata."

Dalam masa sama, Fazrul Azrie Mohdad, yang kejayaannya meraih pingat gangsa dalam Sukan Komanwel 2018 dibatalkan akibat terpalit isu doping, mengakui masa depan sebagai atlet akan menjadi semakin kelam dalam hal itu.

"Ia boleh membunuh karier atlet.

"Kalau mereka masih di usia muda, sangat rugi tetapi mereka masih ada harapan manakala kedudukan atlet yang sudah tua pula boleh dipertikaikan," katanya.

Naib Presiden PABM, Amirul Hamizan Ibrahim, pula berpandangan: "Kami tertakluk kepada rayuan.

"Mungkin kami perlu mendapat maklumat yang tepat mengapa atlet ini boleh didapati bersalah."