Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bersetuju untuk menilai semula penggantungan dua tahun terhadap dua atletnya, Constatine Clement dan Mohd Nasir Roslan, yang positif ujian doping berikutan saranan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Setiausaha Kehormat PABM, Pang Siew Huat, berkata satu mesyuarat akan diadakan esok untuk membincangkan isu tersebut.

Ia susulan terdapat percanggahan dalam menentukan hukuman ke atas dua atlet angkat berat, yang didakwa Khairy, tidak selaras dengan peraturan Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

"Kami akan mengkajinya semula kerana nasihat Khairy adalah bagus. Tetapi kami perlu melakukan penilaian semula kerana keputusan telah dibuat.

"Kami akan bersidang untuk membincangkan kes Khairul Annuar Mohamad (yang positif doping dalam Sukan Malaysia Sarawak) dan sebelum itu, kami akan mengkaji semula untuk mengubah keputusan (Constatine dan Nasir)," jelas Siew Huat.

Terdahulu, PABM sudah pun menjatuhkan hukuman dua tahun ke atas Constatine serta Nasir dan bukannya empat tahun seperti yang termaktub dalam peraturan WADA.

Antara agenda lain yang bakal dibincangkan dalam mesyuarat esok adalah status rayuan Constatine dan Nasir, serta nasib atlet angkat berat Sukan Malaysia (Sukma), Khairul Annuar Mohamad, yang turut positif ujian doping.

"Atlet mempunyai hak untuk membuat rayuan. Ketika kes masih lagi di tribunal sukan, mereka masih boleh merayu tetapi selepas melepasi tribunal, kami tidak boleh melakukan apa-apa."