Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) tidak akan berganjak dengan penggantungan dua tahun terhadap atlet positif doping, Constantine Clement dan Mohd Nasir Roslan, kerana mendakwa hukuman itu mengikut peraturan Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

"Presiden persatuan ada berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, untuk menceritakan tentang hal yang sebenarnya. Daripada maklumat yang telah saya perolehi, kami akan mengekalkan keputusan yang sama buat masa ini.

"Kami juga tidak mendapat apa-apa maklumat daripada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF)," jelas Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PABM, Abu Hanapah Ismail.

PABM sudah merujuk bentuk hukuman berdasarkan kod WADA sebelum mengenakan penggantungan dua tahun ke atas Constantine dan Nasir.

Keputusan itu juga sudah dihantar kepada WADA pada Mei lalu dan setakat ini tiada sebarang bantahan.

Jadi, PABM berpendapat mereka sudah melakukan tugas yang betul, sekali gus mengekalkan penggantungan dua tahun terhadap kedua-dua atlet terbabit.

Mengikut peraturan WADA, atlet sepatutnya digantung empat tahun, namun terdapat klausa yang boleh mengurangkan hukuman seperti atlet dianiaya atau tidak sengaja mengambil bahan terlarang.

Contohnya, sembilan atlet angkat berat Bulgaria dikesan positif steroid pada awal tahun lalu, namun hanya dikenakan penggantungan tidak sampai dua tahun kerana didapati tidak sengaja mengambil bahan terbabit.

"Buat masa ini, kami mengekalkan keputusan yang sama. Tiada apa-apa bantahan daripada WADA atau IWF. Jika WADA atau IWF meminta kami untuk membuat penilaian semula, kami akan merujuk semula perkara tersebut," ujar Abu Hanapah.

Constantine dan Nasir dikesan positif steroid ketika menjalani kem latihan skuad negara di China pada April lalu.