Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ong Poh Eng, memberi peringatan sukan angkat negara berkemungkinan berdepan penggantungan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) selepas kes doping melibatkan Mohd Hafifi Mansor tahun ini.

Ujian sampel B Hafifi yang disahkan positif menjadikan ini adalah kes doping pertama melibatkan sukan angkat berat negara pada tahun 2017.

Ia juga adalah tahun ketiga berturut-turut sukan ini dipalit dengan isu doping sejak 2015 yang boleh meletakkan sukan angkat berat negara dalam situasi bahaya untuk digantung oleh IWF sekiranya berlaku sekali lagi kes seumpama ini.

Justeru, Poh Eng mengharapkan setiap atlet harus berwaspada dan tidak mengambil mudah bagi memastikan mereka tidak lagi harus berdepan dengan isu doping bagi membolehkan persiapan Sukan Komanwel 2018 berjalan lancar.

"Ini merupakan kali ketiga atlet Malaysia gagal dalam ujian doping dan ia akan mendatangkan masalah untuk PABM digantung," katanya.

Hafifi kini hanya perlu menanti tempoh hukuman yang bakal ditetapkan oleh IWF dalam masa terdekat.

Walaupun kesalahan doping jenis oxymetholone itu meletakkan hukuman penggantungan selama empat tahun, peluang yang masih ada untuk pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 hanyalah pengurangan tempoh hukuman.

"Pada pendapat saya, selepas sampel B disahkan positif, kita hanya mampu merayu supaya penggantungan Hafifi dikurangkan," ujarnya lagi.