PABM akur jika angkat berat digugurkan

Oleh Staff Writer 6 Oktober 2016 18
PABM akur jika angkat berat digugurkan
Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) terpaksa akur jika acara itu digugurkan daripada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 seandainya gagal untuk mengawal jumlah kes doping atlet negara dalam Kejohanan Remaja Dunia dan Negara-Negara Komanwel di Pulau Pinang, bulan depan.

Terdahulu atlet Pahang, Khairul Anwar Mohamad, diumumkan positif doping dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak.

PABM bersedia untuk menerima hukuman jika kes doping melibatkan atlet angkat berat bertambah.

Setakat ini, tiga kes positif sudah dikesan, termasuk membabitkan Khairul Anwar selaku pemenang dua pingat emas Sukma Sarawak.

Ia menjadikan angkat berat sebagai sukan kedua tertinggi dalam kes doping selepas bina badan, dengan empat kes tahun ini.

"Kami telah menasihatkan atlet supaya tidak mengambil bahan terlarang tetapi mereka masih mengambilnya dan kami tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

"Seperti yang menteri kata, angkat berat tidak boleh terlibat dalam apa-apa temasya, baru semua menyesal jika angkat berat dilarang untuk menyertai semua sekali seperti bina badan," jelas Setiausaha Kehormat PABM, Pang Siew Huat.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pernah memberi amaran untuk membatalkan penyertaan sukan angkat berat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur jika badan induk itu gagal untuk mengawal kes doping di kalangan atletnya.

Risiko itu wujud apabila Malaysia akan menganjurkan dua kejohanan besar di Pulau Pinang bulan depan.

Sementara itu, PABM akan memanggil Khairul Anwar dan dua jurulatih Pahang dalam proses siasatan kes doping Sukma Sarawak.

Khairul Anwar, pemenang dua pingat emas kategori 94kg dikesan positif steroid, sekali gus terpaksa memulangkan semula pingat terbabit kepada penganjur.

"Jika jurulatih yang memberikan bahan terlang tersebut, jurulatih juga akan digantung. Ini adalah keputusan kami dan kami memandang serius mengenainya. 

"Jika dia sendiri yang mengambilnya tanpa pengetahuan jurulatih untuk meningkatkan prestasinya, dia akan digantung mengikut apa yang telah ditetapkan oleh WADA, iaitu mandatori empat tahun," kata Pang.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen