Kesemua pihak kini perlu memikirkan perkara yang lebih besar membabitkan konflik yang menimpa jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang, iaitu mekanisme berkesan dalam mengembalikan keharmonian kem kebangsaan untuk penerjun negara terus fokus menghadapi cabaran 2018.

Perkara yang lebih utama ketika ini buat kesemua pihak, baik Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta pihak Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) ialah mengambil iktibar daripada kes ini agar menjadi panduan buat mereka dalam membuat sesuatu keputusan sebelum menyampaikan kepada umum.

Timbul tanda tanya apabila kenyataan yang diberikan Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi, bercanggah dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, sambil jurulatih, Zhuliang, serta atlet seperti Cheong Jun Hoong menafikan apa jua konflik yang sedang berlaku dalam skuad kebangsaan.

Perkara itu disuarakan pemerhati sukan tempatan, Rizal Hashim, dengan berkata: "Pembuat dasar harus bijak agar dapat menghasilkan keputusan (yang betul).

"Bagi saya, satu persatu (cerita belakang tadbir) akan terkeluar kalau mereka gagal menangani isu ini dengan baik.

"Inilah satu contoh bagaimana sebuah persatuan sukan itu tidak sehaluan atau berada di muka surat yang sama untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.

Kebimbangan kini tertumpu kepada kemampuan individu seterusnya yang bakal menyandang jawatan ketua jurulatih skuad terjun untuk bukan sahaja mengekalkan pencapaian yang ditinggalkan Zhuliang, malah mengembalikan keharmonian dalam kem negara.

"Untuk memastikan atlet di bawah naungan mereka ini kekal fokus dari sudut emosi, fisiologi, fizikal dan mental. Itulah sebenarnya tugas jurulatih di peringkat elit.

"Melainkan jurulatih pembangungan, dia harus mengenal pasti bakat di peringkat akar umbi. Itulah perbezaan cabarannya," kata Rizal lagi.