'Orang kuat' Selangor 'mengganas' di Papar

Oleh Staff Writer 10 Oktober 2016 13
'Orang kuat' Selangor 'mengganas' di Papar
Peserta Selangor, Zarol Nizam, dinobat sebagai juara kejohanan Cabaran Orang Kuat Papar 2016 selepas mengumpul mata tertinggi daripada lapan acara yang dipertandingkan.

Kejohanan di Papar, Sabah yang bermula Sabtu lalu hingga semalam itu menyaksikan Zarol mengutip 11 mata bagi cabaran Truck Pull, Log Press (12), Yoke Walk (12), Farmer Walk (12), Tyre Flip (12), Hercules Grip (9), Car Deadlift (11), dan Atlas Stone (11), menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 90 mata, sekali gus muncul juara mengatasi 12 peserta lain.

Sementara itu, peserta dari Perlis, Mohd Firdaus Jamen, muncul pemenang tempat kedua dengan kutipan mata keseluruhan sebanyak 82.5, iaitu 10 mata bagi acara Truck Pull, Log Press (11), Yoke Walk (11), Farmer Walk (10), Tyre Flip (8.5), Hercules Grip (10), Car Deadlift (10), dan Atlas Stone (12).

Peserta Sabah, Francis Abi, pula sekadar mendapat tempat ketiga selepas mengutip mata keseluruhan sebanyak 75, iaitu 9 mata bagi acara Truck Pull, Log Press (10), Yoke Walk (7), Farmer Walk (7), Tyre Flip (11), Hercules Grip (11), Car Deadlift (12), dan Atlas Stone (8).

Dengan kemenangan itu, Zarol membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 manakala Mohd Firdaus dan Francis masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,000 dan RM1,000. 

Kesemua hadiah-hadiah kejohanan yang dianjurkan Pertubuhan Angkatan Gabungan Rakyat Asli Sabah (Agaras) itu disampaikan presidennya, Michael Frederick.

Terdahulu penyelaras pertandingan, Roger Frederick, berkata cabaran kali ini sekali lagi didominasi peserta dari luar Sabah.

"Beberapa kejohanan Orang Kuat pada tahun ini didominasi peserta dari luar Sabah berbanding dikuasai peserta tempatan sebelum ini.

"Peserta dari luar negeri menunjukkan banyak peningkatan dari segi teknik dan kemungkinan juga faktor umur menjadikan mereka ada kelebihan kerana rata-rata peserta dari Sabah berusia 35 tahun ke atas," katanya.

Tambah Frederick, dua lagi kejohanan Cabaran Orang Kuat bakal dianjurkan pada tahun ini dan berharap peserta dari Sabah akan lebih gigih berlatih bagi menyaingi peserta negeri lain.


 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen