Dua wakil negara berjaya mara ke final selepas berjaya menumbangkan lawan masing-masing dalam aksi sengit peringkat separuh akhir Kejohanan Dunia One Silat yang berlangsung di Stadium Titiwangsa.

Dhiaaul Amal mencipta sensasi apabila menyingkir pesilat lebih berpengalaman, Alvin Ramirez, yang juga antara pilihan utama skuad Filipina dalam kategori bantamweight.

Ternyata jurang usia tidak menjadi halangan dengan Dhiaaul yang baru berusia 23 tahun membuktikan dia mampu membawa Malaysia mara ke final meskipun berdepan tentangan sengit.

Dhiaaul terpaksa beraksi sehingga ke pusingan ketiga dengan juri sebulat suara memilih dia sebagai pemenang, sekaligus menyingkir antara harapan utama Filipina, Ramirez.

Sementara itu,kategori flyweight pula menyaksikan slot Malaysia ke final sudah terjamin apabila dua pesilat negara, Muhammad Arif Izzudin menentang rakan senegara, Mohd Fouzein.

Kedua-dua pesilat negara ini mempamer aksi terbaik mereka dengan akhirnya menyaksikan Muhamad Arif Izzudin mara ke final.