Atlet sukan seni mempertahankan diri, Agilan Thani, lebih berwaspada dengan kemahiran kaki pesaing dari Kyrgyzstan, Kiamrian Abbasov, untuk memastikan kejuaraan One Championship, Jumaat ini, menjadi miliknya.

Agilan adalah antara atlet yang akan menjadi tumpuan dalam kategori welterweight apabila bakal menentang Abbasov di Arena Axiata.

Dia tidak menolak pertarungan sengit akan hadir daripada lawannya yang dianggap sebagai pencabar serba boleh, khususnya dalam aspek kekuatan kaki dan kemahiran menyerang.

Namun, atlet berusia 23 tahun itu tidak menganggap kelebihan yang dimiliki Abbasov menjadi satu halangan untuknya menakluki gelanggang.

"Saya sentiasa memikirkan jalan yang berbeza.

"Sekiranya lawan mengasak, saya juga harus lawan semula.

"Saya sangat teruja untuk bertarung dengan cara yang bijak, bukan lawan secara menyerbunya," katanya.

Dalam perkembangan sama, atlet muda, Mohammed Mahmoud, yang juga dikenali sebagai Jordan Boy, tidak gentar untuk berdepan lawan dari Greece, Stergos Mikkios, meskipun bakal menjejakkan kaki ke gelangang profesional One Championship buat julung kalinya.

"Sejak bulan lalu, saya sudah mengkaji corak lawan yang bakal dihadapi.

"Saya memiliki kelebihan daripada segi ketinggian. Saya akan cuba mengekalkan jarak saya dengannya serta cuba sedaya-upaya untuk menjatuhkannya," kata Mohammed.