Oltmans yakin Razie sedia harungi Piala Dunia

Oleh Staff Writer 21 November 2018 188
Oltmans yakin Razie sedia harungi Piala Dunia
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, menegaskan pertahanan, Muhammad Razie Abd Rahim, bersedia membuat penampilan kedua dalam Piala Dunia walaupun bergelut ketika Malaysia tewas 3-4 kepada New Zealand dalam aksi persahabatan kedua, semalam.

Pertahanan negara itu melakukan beberapa kesilapan dalam suku terakhir untuk tewas buat kali kedua dalam aksi persahabatan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Razie, yang baru sahaja pulih daripada kecederaan hamstring, gagal memberikan persembahan terbaik hingga gagal menghalang serangan pasukan lawan.

Kemampuan sebenar pakar pukulan sudut penalti itu jauh lebih baik, namun Otlmans yakin dia akan mencapai prestasi sebenar sebelum berlepas ke India, Sabtu ini.

"Razie sudah pulih sepenuhnya tetapi masih tidak berada pada tahap terbaik serta belum menemui rentak permainannya. Saya pasti apabila Piala Dunia tiba, Razie mampu menampilkan persembahan lebih berkualiti," kata Oltmans.

Gol Malaysia dijaringkan penyerang, Firhan Ashaari, Faizal Saari dan pemain tengah, Nabil Fiqri Mohd Noor.

Gol New Zealand pula menerusi George Muir, Aidan Sarikaya dan dua gol peribadi Kane Russell.

Ini kekalahan kedua Malaysia selepas tewas 1-2 kepada pasukan yang sama, Jumaat lalu.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar dan pantas. Kedua-dua pasukan telah berusaha untuk mencari kemenangan dan kami sangat gembira dengan keputusan yang memihak kepada kami," kata jurulatih New Zealand, Darren Smith.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen