Bekas pelumba trek negara, Malek Marcus McCrone, yang meninggalkan acara itu empat tahun lalu, berhasrat membuat penampilan semula untuk membentuk trio pecut ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malek adalah antara pelumba berpotensi untuk melangkah jauh ketika membarisi skuad pelapis negara.

Ketua jurulatih negara, John Beasley, juga pernah membawanya berlatih di Melbourne, Australia sebelum dia terbabit dengan kemalangan ketika menyertai acara kriterium pada 2012.

Selepas empat tahun, beberapa pelumba seangkatannya sudah jauh ke depan, namun minat dalam basikal trek tidak pernah padam.

"Secara jujurnya, saya menyesal meninggalkan sukan basikal.

"Pada masa itu, saya sepatutnya kekal bertahan dan terus berjuang tapi ketika itu saya berdepan dengan banyak dilema," katanya,

Bekas Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad, mencadangkan trio pecut lelaki dibentuk semula kerana ia peluang terbaik untuk menambah jumlah pelumba negara ke Olimpik Tokyo.

Pelumba sensasi, Azizulhasni Awang, akan mengetuai trio itu sambil dibantu Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang sedang beraksi dalam Piala Dunia.

"Kalau dulu rutin saya bangun pagi menjalani latihan, rehat pada sebelah tengah hari sebelum menyambung semula sesi latihan.

"Tapi sekarang ini, hidup saya sekadar mengikut keadaan semasa."