Atlet-atlet seluruh negeri Sabah dialu-alukan mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Tertutup Sabah 2019 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, pada 3 dan 4 Ogos ini.

Penolong Pengarah (Bahagian Pengurusan Acara) Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, Valerie Wong, berkata, kejohanan dua hari anjuran MSN Sabah itu mempertandingkan lapan acara balapan dan enam acara padang kategori lelaki dan wanita.

Acara balapan yang dipertandingkan ialah 100 meter, 200m, 400m, 800m, 1,500m, 5,000m, 400m lari berpagar, 100m lari berpagar (wanita) dan 110m lari berpagar (lelaki).

Sementara itu, acara padang pula terdiri daripada lompat tinggi, lompat jauh, lompat kijang, melontar peluru, melempar cakera dan merejam lembing.

"Kejohanan ini hanya terbuka untuk atlet Sabah. Setakat ini, seramai 49 atlet dari seluruh negeri Sabah telah mengesahkan penyertaan.

"Pertandingan akan dijalankan mengikut peraturan dan undang-undang Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Peraturan Tetap Kejohanan.

"Hari pertama pertandingan akan bermula jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang manakala hari kedua dijadualkan bermula jam 7.30 pagi hingga 11.50 pagi," katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu, hari ini.

Sehubungan itu, atlet yang berminat boleh menghubungi Pegawai Pembangunan Negeri (Olahraga) MSN Sabah, Mohd Safwan Adiman, di nombor 011-10195002 /088-538397 (sambungan 109) untuk keterangan lanjut atau email ke [email protected] sebelum tarikh tutup pada 26 Julai ini.