Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengesahkan Terbuka Malaysia yang sepatutnya berlangsung bulan ini terpaksa ditunda lagi.

Ia sebagai langkah keselamatan selepas enam atlet dan lima pegawai MSN positif COVID-19.

Antara atlet yang diuji positif pandemik itu ialah jaguh lompat tinggi, Lee Hup Wei, yang sedang mengintai slot ke Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

"Saya dalam keadaan bagus, sihat. Saya tidak menunjukkan sebarang gejala.

"Sebagai atlet, saya rasa ketahanan tubuh saya menjadi lebih kuat.

"Tetapi perlu tengok juga sejauh mana tahap COVID-19 yang menjangkiti saya.

"Apa yang saya paling risau ialah keadaan keluarga, mereka perlu buat pemeriksaan dan akan ujian calitan kedua mereka akan diketahui Isnin ini. Jadi Saya agak risau," katanya ketika ditemu bual maya oleh wartawan Astro Arena, Bazly Azmi.

Namun, juara Asia 2007 dan pemenang pingat emas tiga kali Sukan SEA itu tidak mahu perkembangan ini sebagai kekangan untuknya melepasi paras had kelayakan Sukan Olimpik.

Dia, yang mengumpul 1,260 mata untuk menduduki tnagga ke-17 dunia, perlu bekerja keras untuk mendapatkan tempat ke Olimpik secara merit menerusi sistem mata.

"Ia tidak berapa mengganggu saya. Saya cuma perlu mendapatkan rehat jadi lagi cepat boleh dapat gilap teknik baru," katanya lagi.

Sementara itu, Presiden KOM, Datuk SM Muthu, berkata badan peneraju tersebut memutuskan untuk menunda Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung di Bukit Jalil.

"Berikutan kes jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat, kami mempertimbangkan untuk menunda kejohanan kepada Mac depan," katanya pula.