Raja pecut Asia Tenggara 2017, Khairul Hafiz Jantan, belum bersedia mengangkat bendera putih apabila masih mempunyai talian hayat terakhir hujung minggu ini untuk mempertahankan emas acara 100 meter dalam Sukan SEA Filipina 2019.

Catatan terbaik Khairul Hafiz musim ini hanyalah 10.50 saat ketika saingan Kejohanan Olahraga Terbuka Kuala Lumpur awal bulan ini.

Ia masih jauh daripada syarat kelayakan ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), iaitu catatan terbaik musim semasa, 10.43s.

Talian hayat terakhir Khairul Hafiz adalah Kejohanan Tertutup Malaysia Jumaat ini untuk mendapatkan slot terakhir.

"Setiap atlet perlu menghadapi tekanan. Saya akan cuba untuk melayakkan diri ke Sukan SEA bagi mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu," kata Khairul Hafiz.

Saingan Tertutup Malaysia bakal menjadi kejohanan ketiganya tahun ini selepas Sukan Univerisiti Dunia (Universiade) di Napoli dan Terbuka Kuala Lumpur selepas berehat panjang selama tujuh bulan ekoran kecederaan hamstring.

Dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Khairul Hafiz menamatkan penantian emas acara reben biru itu dengan catatan 10.18s, menewaskan jaguh dari Filipina, Eric Clay.

"Saya, jurulatih dan pegawai di Institut Sukan Negara mengetahui kemampuan fizikal saya untuk kembali ke tahap terbaik. Saya telah lama berehat dan jika dapat melayakkan diri ke Manila, ia adalah rezeki bagi saya."