Olahraga: Peluang sama rata rebut tiket ke Tokyo 

Oleh Shaiful Shamsudin 18 Jun 2020 52
 Olahraga: Peluang sama rata rebut tiket ke Tokyo 
Kesatuan Olahraga Malaysia  (KOM) mendedahkan Malaysia berpeluang menjadi tuan rumah edisi keempat Kejohanan Olahraga Remaja Asia tahun depan. 

Kejohanan dwi-tahunan itu, yang menampilkan atlet berumur 15 hingga 17 tahun, baru sahaja diwujudkan pada 2015.

Sehingga ini, hanya tiga negara berpeluang menjadi tuan rumah -- antaranya Qatar, Thailand dan Bangkok.

KOM  masih sedang cuba untuk meyakinkan beberapa pihak biarpun sudah mendapat isyarat positif daripada badan olahraga dunia, Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), untuk menganjurkannya dengan Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dijangka menjadi venue pilihan. 

Sementara itu, tiada atlet olahraga akan dipinggirkan.

Itu saranan KOM yang menyenaraikan enam nama prospek sukan itu untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2021 secara merit.

Antaranya Muhammad Haiqal Hanafi, Irfan Shamsuddin, Hakimi Ismail, Nauraj Singh Randhawa, Lee Hup Wei dan Andre Anura Anuar yang dilihat berpotensi untuk melepasi had kelayakan bagi acara masing-masing.

"Kami belum selesai pilih atlet lagi.

"Kami masih ada tempoh setahun lagi untuk mendapatkan pandangan daripada jurulatih dan hanya atlet terbaik yang akan terpilih," kata Presiden KOM, Datuk S.M Muthu, hari ini. 

Bagaimanapun, tiada program khas disediakan untuk mereka yang menyaksikan atlet lain juga turut boleh mencabar seandainya menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Tarikh tamat kelayakan temasya Tokyo pula telah diubah kepada Mei 2021.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen