"Kalau dua tahun lalu saya nombor dua, kali ini saya mahu jadi juara," kata jaguh pecut para negara, Ridzuan Puzi, menjelang Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 7 November ini.

Keyakinan itu hadir selepas dia menjalani latihan intensif dan menyertai beberapa kejohanan sepanjang 42 hari di Finland sejak Julai lalu

Dalam Kejohanan Dunia di London dua tahun lalu, Ridzuan tewas kepada jaguh China, Yang Yifei, untuk berpuas hati dengan pingat perak.

"Dekat London nombor dua, kali ini saya mahu pingat emas kerana sesi latihan sudah bertambah dan banyak juga yang saya belajar untuk memperbaiki kelemahan," katanya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih skuad olahraga para negara, R. Jeganathan, berharap segala pembelajaran yang diperoleh Ridzuan sewaktu di Finland dapat diterapkan untuk menewaskan Yifei di Dubai.

"Ridzuan Puzi pernah memecahkan rekod dunia sewaktu di Jakarta (Sukan Para Asia 2018).

"Dia masih meningkat dan harap-harap pada hari itu (kejohanan), ia akan betul-betul menjadi dan dia dapat memenangi kembali pingat emas.

"Kami sudah melakukan banyak perubahan sewaktu latihan.

"Kami mengadakan latihan di Finland dengan dibimbing jurulatih dari Amerika (Syarikat).

"Sudah banyak yang kami pelajari," katanya.