Olahraga Para Dunia: Ridzuan raih gangsa

Oleh Bernama 11 November 2019 2090
Olahraga Para Dunia: Ridzuan raih gangsa
Atlet para kebangsaan, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, merangkul pingat gangsa dalam acara 100m lelaki T36 (palsi serebrum) dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), malam tadi. 

Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018 itu merakam masa 11.97 saat dan catatan itu tidak jauh daripada rekod terbaiknya, 11.87 saat, yang dicatatnya dalam Sukan Para Asia Jakarta 2018, menurut laman sesawang Paralimpik, www.paralympics.org.

Atlet Australia, James Turner, melakar rekod baru dunia, 11.72 saat, untuk meraih pingat emas manakala Yang Yifei dari China merangkul perak dengan membuat rekod baru Asia dengan catatan 11.79 saat bagi memadamkan rekod sebelumnya yang dipegang Mohamad Ridzuan di Jakarta.

Untuk rekod, Mohamad Ridzuan atau lebih mesra dipanggil Dikwan, telah memenangi pingat emas acara yang sama dalam edisi 2015 di Doha, Qatar selain memperoleh pingat perak dalam edisi 2017 di London, United Kingdom.

Pingat gangsa daripada atlet berusia 32 tahun itu menyaksikan Malaysia mengumpul tiga pingat, termasuk dua perak daripada Jonathan Wong Kar Gee dalam kategori lompat jauh lelaki T12 (gangguan penglihatan) dan Muhammad Ziyad Zolkefli dalam kategori lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen