Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, bersedia menuntut segala ilmu daripada pengarah teknikal skuad olahraga negara, Dwayne Miller, dalam usahanya merebut kembali gelaran raja pecut negara daripada Haiqal Hanafi.

Justeru, dia akan belajar untuk memperbaiki teknik larian dan akan akur dengan segala perancangan jurulatih dari Amerika Syarikat itu.

Sejak meraih pingat emas dalam acara 100 meter Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, prestasi pelari kelahiran Merlimau, Melaka itu kian merudum.

Siri kecederaan berpanjangan dan kehilangan tumpuan menyaksikan Khairul Hafiz gagal tersenarai dalam acara kegemarannya itu dalam Sukan SEA Filipina tahun lalu -- di mana Haiqal memenangi pingat emas -- tetapi dengan kehadiran Miller, dia berharap mampu mengembalikan prestasi terbaiknya.

"Alhamdulillah, setakat ini semuanya baik-baik sahaja.

"Masih banyak perkara untuk saya kejar tetapi saya masih tidak tahu perancangan barisan kejurulatihan, jadi saya hanya ikut yang terbaik.

"Kami berlatih mengikut perancangan jurulatih. Jika perancangan itu yang terbaik, ia akan tetap menjadi yang terbaik," katanya.



Dalam pada itu, Miller meluahkan rasa terujanya apabila dapat memulakan kembali latihan selepas waktu rehat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, tahap kecergasan setiap atlet masih berada di tahap terbaik dan Miller berpuas hati dengan perkembangan itu.

"Apa yang sedang kami lakukan ketika ini adalah mencuba untuk mengembalikan setiap atlet ke prestasi sebenar.

"Virus ini (COVID-19) telah memberikan kesan kepada semua orang dan kami cuba untuk mengambalikan rentak seperti asal.

"Tiada sebarang sasaran buat ketika ini selain mencuba untuk mengembalikan prestasi setiap atlet seperti pada Mac lalu (sebelum PKP).

"Itulah fokus kami pada ketika ini kerana kami berada di prestasi terbaik pada Mac lalu sebelum semua orang terjejas.

"Tahap kecergasan mereka tidaklah terlalu buruk cuma mereka baru kembali di tempat latihan yang sepatutnya berbanding sebelum ini.

"Mereka kini dapat kembali ke rutin normal untuk berlatih di balapan.

"Mereka semua nampak baik cuma mereka sedang mengembalikan prestasi asal," katanya.