Atlet lompat jauh, Muhammad Nazri Mustafa, bertindak sebagai bidan terjun sebelum menang pingat emas acara 100 meter Kejohanan Olahraga All-Comers Wilayah Persekutuan sekali gus dalam dilema menjelang Sukan Malaysia (Sukma) Johor, Julai ini.

Nazri tidak meletak sasaran tinggi dalam kejohanan yang dijadikan medan pemilihan atlet Wilayah Persekutuan ke Sukma Johor.

Pemenang gangsa lompat jauh dan kijang Sukma Perak 2018 itu hanya mencuba nasib dalam acara reben biru namun berjaya mencipta kejutan.

Nazri meraih emas dengan 10.82 saat mengatasi pilihan utama, Mohd Solihin Jemolin dari Wilayah Persekutuan sementara wakil Johor, gangsa.

"Saya tidak sangka dengan kemenangan ini namun saya tidak pasti samada mahu kekal bersaing dalam acara ini kerana mahu fokus kepada saingan lompatan," kata Nazri.

Impian menyaksikan kejutan dalam lompat jauh pula tidak kesampaian.

Pemegang rekod kebangsaan, Andre Anura Anuar yang memburu had kelayakan Sukan Olimpik Tokyo, 8.20m gagal dalam ketiga-tiga percubaan sebelum tarik diri.

Ia memberi laluan kepada wakil Terengganu meraih emas, perak dan gangsa milik Sekolah Sukan Bukit Jalil.

"Ketiga-tiga percubaan saya gagal namun kekal optimis untuk melakukan lompatan yang lebih cemerlang selepas ini," kata Andre Anura.