Pelari berusia 15 tahun, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, mencatat masa lebih pantas berbanding Jonathan Nyepa dan Khairul Hafiz Jantan yang akan menyertai Sukan SEA Filipina hujung bulan ini apabila memecah rekod acara 100m Kejohanan Olahraga Innotex SSBJ di Trek Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.

Atlet kelahiran Perak itu mencipta sensasi apabila memperbaharui catatan peribadi terbaik dengan merakamkan masa 10.57 saat untuk mengangkatnya selaku juara kategori bawah 16 tahun.

Prestasi pelari Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perak (MSSP) itu menimbulkan persoalan mengenai apakah yang berlaku terhadap jaguh pecut negara yang akan mencabar temasya dwitahunan itu dua minggu lagi.

"Saya berasa rendah diri ketika bersaing dengan atlet senior.

"Bagi saya, (peluang) bersaing dengan mereka tidak mustahil tetapi saya mahu mengambil langkah berjaga-jaga daripada segi mental dan persembahan," katanya.

Dalam final 100m terbuka lelaki, Mohd Haiqal Hanafi lebih pantas daripadanya selepas atlet kebangsaan itu muncul juara apabila merakamkan 10.44s untuk mengatasi Muhammad Aqil Yasmin sementara gangsa milik Jonathan.

Lebih menarik, Haiqal hanya tersenarai dalam kuartet 4x100m negara.

"Kalau ada rezeki Alhamdulillah, kalau tidak mungkin lain kali.

"Andai kata tidak dapat menyertai acara 100m (Sukan SEA), maka saya akan fokus kepada 4x100m," kata Haiqal.

Situasi sama turut berlaku dalam acara 100m wanita.

Zaidatul Husniah Zulkifli menepati ramalan dengan pecutan 11.84s sementara rakan sepelatih, Azreen Nabila Alias, meraih perak -- lebih pantas berbanding Siti Fatimah Mohamad yang mengisi slot kedua 100m Sukan SEA.

Malah, Azreen, 19, hanya diletakkan sebagai pelari simpanan bagi kuartet 4x100m.