Tindakan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) yang menukar sistem kelayakan Sukan Olimpik Tokyo dengan membekukan ranking dunia selain membuka semula tempoh kelayakan, bermula 1 Disember depan disambut baik atlet negara.

Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, selaku prospek terbaik untuk layak secara merit percaya sistem kelayakan baru itu akan menawarkan lebih banyak masa buat mereka untuk memburu tiket sama ada secara merit atau ranking dunia.

Gara-gara novel koronavirus (Covid-19) IAAF terpaksa merombak siri kelayakan itu dari Disember ini hingga Jun tahun, sebulan menjelang temasya Tokyo 2021.




"Ini bukan pilihan terbaik tetapi kami harus akur bahawa kedudukan semua atlet juga sama.

"Kami perlu berusaha lagi untuk layak, iaitu dalam tempoh tujuh bulan yang diberikan," katanya ketika dihubungi wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, hari ini.

Ketika ini, semua ranking dunia dibekukan sebelum dibuka semula pada 1 Disember depan.

Atlet mempunyai tempoh tujuh bulan untuk melepasi had kelayakan secara merit atau berada dalam kelompok terbaik ranking dunia.

Bagi sistem ranking dunia, tempoh kelayakan dipendekkan kepada 16 bulan.

Cuma, atlet kelompok 32 ranking terbaik dunia acara masing-masing perlu merangka semula program latihan dan kejohanan untuk menghadapi tempoh kelayakan kedua bagi mempertahankan kedudukan masing-masing.

"Saya akan cuba yang terbaik untuk layak secara merit tetapi saya perlu menyertai setidak-tidaknya tujuh kejohanan yang bertaraf perak atau gangsa.

"Saya tidak rasakan had kelayakan akan diubah tetapi tempoh kelayakan akan dipanjangkan," katanya lagi.

Perkembangan itu turut disambut pemenang pingat emas lompat kijang Sukan SEA 2019, Hakimi Ismail, apabila senada ia adalah keputusan yang adil dengan mengulas: "Atlet olahraga seluruh dunia berpeluang untuk mengumpul dan cuba layak ke Sukan Olimpik tahun depan."

Tambah jurulatih pecut negara, M Balamurugan: "Tempoh kelayakan tidak memberikan kelebihan kepada sesiapa melainkan kekurangan.

"Proses itu biasanya mengambil masa 12 bulan tetapi kini 18 bulan ditambah enam bulan lagi.

"Ia satu tempoh yang amat lama. Kelebihan memang banyak buat atlet."