Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) terpaksa mengambil risiko untuk menganjurkan Grand Prix (GP) Malaysia bulan depan tanpa kehadiran atlet luar negara.

Kejohanan itu sudah ditunda sebanyak enam kali berikutan kekangan COVID-19.

KOM tiada pilihan kecuali menganjurkan GP Malaysia secepat mungkin kerana atlet negara kesuntukan masa untuk melepasi had kelayakan Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

"Kerajaan telah memberi kebenaran untuk kejohanan dianjurkan.

"Memang kami mahu mengundang atlet luar tetapi masa sekarang tidak berapa sesuai.

"Thailand juga telah memberi jawapan untuk tidak menyertai kerana COVID-19 jadi kami tumpukan kepada penyertaan atlet tempatan," kata Presiden KOM, Datuk SM Muthu, ketika ditemui wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, di Bukit Jalil.