Tindakan atlet lempar cakera negara, Queenie Ting Kung Ni melakukan protes terhadap keputusan pegawai teknikal membuahkan hasil apabila bukan sahaja memenangi pingat emas Kejohanan OIahraga Grand Prix Malaysia malah turut memecah rekod kebangsaan.

Atlet kelahiran Sarawak itu pada awalnya didakwa melakukan foul pada balingan terakhir dengan catatan 48.56 meter.

Namun dia melakukan bantahan dan keputusan itu diterima jawatankuasa teknikal kejohanan sekali gus diumumkan sebagai pemegang baru rekod kebangsaan mengatasi rekod lama dengan kelebihan 65 sentimeter.

Perak milik Connie Choo Kang Ni sementara Yap Jen Tzan, gangsa.

"Apabila saya menamatkan lontaran, saya melihat pergerakan cakera dan ia berada di pihak betul dan ia telah memihak saya buat kali ini," katanya.

Bagi acara 110m berpagar, Rayzamshah Wan Sofian yang hanya sempat berlatih sejak dua bulan lalu tidak berdepan masalah meraih emas dengan 14.50s.

Dia yang sudah setahun tidak mendapat sentuhan jurulatih, Jan May dari Jerman meminta Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menganjurkan sekurang-kurangnya tujuh lagi kejohanan dalam misi rampas emas Sukan SEA Vietnam.

"Saya berharap lebih banyak kejohanan dapat dianjurkan bagi meningkatkan tahap keyakinan menjelang saingan Sukan SEA," kata Rayzam.

Beralih kepada acara lontar peluru, juara Sukan Paralimpik, Ziyad Zolkefli, diberi tentangan sengit namun tetap berjaya meraih emas dengan 16.47m -- 2 sentimeter berbanding pencabar terdekat.

Ziyad yang tidak menyertai kem latihan berpusat kerana mahu berlatih di rumah, berjaya menggunakan pengalaman di pentas antarabangsa untuk kekal tenang bagi menamatkan enam lontaran dengan jarak konsisten 16m.

Perak milik atlet Sarawak, Jonah Chang sementara Kong Chin Poh, gangsa.

"Sejak tiga minggu yang lalu, saya baru mengetahui terdapat saingan ini, saya baru sahaja memulakan latihan sendiri namun jurulatih saya tetap memberikan keyakinan bagi menghadapi kejohanan ini," kata Ziyad.