Olahraga GP Malaysia: Azreen Nabila intai catatan peribadi 

Oleh Shaiful Shamsudin 8 April 2021 142
 Olahraga GP Malaysia: Azreen Nabila intai catatan peribadi 
Pelari pecut 100 meter wanita, Azreen Nabila Alias, bertekad memperbaiki catatan terbaik peribadinya dalam Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Malaysia 2021, hujung minggu ini.

Biar pun sudah lama tidak menyertai kejohanan kompetitif berikutan COVID-19, pelari kelahiran Terengganu itu yakin dan bersedia untuk menampilkan aksi yang terbaik.

Tanpa penyertaan Zaidatul Husniah Zulkifli yang mengalami kecederaan, Azreen Nabila diletakkan selaku pilihan untuk mengungguli acara 100m di Bukit Jalil itu. 

Olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 itu bertekad memperbaiki catatan terbaik peribadinya iaitu 11.92 saat yang dilakukannya pada 2019. 

Selepas berehat agak lama daripada menyertai sebarang kejohanan, ia adalah kesempatan terbaik buat Azreen Nabila untuk menguji sejauh mana keupayaannya selepas kali terakhir beraksi adalah dalam  sesi ujian Majlis Sukan Negara (MSN), November tahun lalu.

"Saya masih mengikuti program yang diberikan jurulatih. 

"Saya harap dapat buat yang lebih baik daripada sebelum ini. 

"Walaupun tanpa Zaidatul Husniah, kehadiran pelari-pelari senior juga masih mendebarkan saya," katanya ketika ditemu bual wakil Astro Arena, Izwan Mohd Nor, di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Jurulatihnya, M. Balamurugan,  yakin akan kemampuan anak didiknya itu untuk tampil cemerlang kali ini.

Apa yang penting, dia mahu memastikan Azreen Nabila bersedia untuk menghadapi beberapa lagi kejohanan akan datang.

"Berdasarkan rancangan, dia akan menyertai dua kejohanan pada bulan depan selain Terbuka Malaysia, bulan seterusnya. 

"Dia masih muda jadi saya tetapkan catatan 12 saat ke bawah ke atasnya."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen