Nyuk Fah: Pemain perlu lepasi tahap ditetapkan

Oleh Penulis Jemputan 17 November 2017 1180
Nyuk Fah: Pemain perlu lepasi tahap ditetapkan
Pemain yang baru dipanggil ke kem latihan fasa dua skuad ragbi kebangsaan mempunyai peluang cerah untuk beraksi sekiranya mampu melepasi penilaian yang ditetapkan ketua jurulatih, Lee Nyuk Fah.

Seramai 26 pemain berada dalam senarai fasa kedua kem latihan pusat sebagai persiapan untuk menghadapi Kejohanan Premier Asia, tahun depan.

Daripada jumlah itu, tujuh merupakan muka baru, antaranya Azim Nasri, Danial Noor Hamidi, Lawrence Petrus dan Nabil Amirul Rizan manakala Rosmanizam Roslan kembali disenaraikan selepas dua tahun berehat daripada arena antarabangsa.

Selain itu, Nyuk Fah turut memanggil tiga pemain import dari Fiji yang diketuai Etonia Vaqa Saukuru.

Hong Kong dan Korea Selatan menjadi cabaran Malaysia dalam Kejohanan Premier Asia nanti dan Nyuk Fah mahu pemainnya lebih bersedia, khususnya daripada aspek ketahanan fizikal.

“Kami harap pemain-pemain dapat mencapai tahap yang kami tetapkan untuk menyahut cabaran Kejohanan Premier Asia.

“Perbezaan dapat dilihat, membuatkan kami memerlukan satu program yang komprehensif dari segi fizikal, taktikal dan mental,” katanya.

Dalam masa sama, Nyuk Fah turut mengharapkan siri jelajah New Zealand yang dijadualkan pada awal Mac 2018 dapat diadakan tanpa sebarang kekangan.

Kunjungan ke sana mampu memberikan gambaran awal sejauh mana kekuatan pasukan negara sebelum berdepan Hong Kong dan Korea Selatan nanti.

“Jika diizinkan, kami akan ke New Zealand selama tiga minggu dan berdepan pasukan-pasukan kelab yang mempunyai kekuatan yang sama atau lebih berbanding Hong Kong dan Korea Selatan. 

“Kami ingin menyesuaikan pemain-pemain dengan pasukan-pasukan yang lebih mantap,” tambahnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen