Nyuk Fah mahu kelonggaran pemilihan pemain

Oleh Penulis Jemputan 8 Oktober 2018 263
Nyuk Fah mahu kelonggaran pemilihan pemain
Pengarah Kejurulatihan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Lee Nyuk Fah, mahu kelonggaran penggunaan pemain melibatkan skuad tujuh sepasukan dan 15 sepasukan mampu membantu antara satu sama lain jika kelibat mereka diperlukan dalam mana-mana kejohanan selepas ini.

Negara lain tiada masalah dengan penggunaan kudrat pemain sama ada daripada pasukan tujuh sebelah atau 15 sebelah, namun Malaysia memilih pendekatan berbeza.

Tiada percampuran pemain melibatkan kedua-dua pasukan ini hanya mengecilkan peluang Malaysia untuk tampil dengan lebih variasi sedangkan ada kualiti pemain daripada pasukan tujuh sebelah yang mampu untuk beraksi dalam kejohanan 15 sebelah dan begitu juga sebaliknya.

"Perlu ada perbincangan di antara pasukan tujuh dan 15 sebelah bagi mencari penyelesaian dalam isu ini. Jurulatih dan pihak pengurusan perlu berbincang mengenai pelepasan pemain," katanya.

Nyuk Fah menegaskan hal itu perlu diubah segera dan pihak pengurusan serta kejurulatihan kedua-dua pasukan perlu duduk semeja untuk mengambil pendekatan lebih efektif.

"Saya rasa tiada masalah berkenaan pihak mana yang akan mengeluarkan keputusan. Kami hanya perlu duduk semeja dan mencari penyelesaian terbaik buat kedua-dua pasukan," tambahnya.

Sri Lanka, Korea Selatan dan Hong Kong telah mengambil pendekatan itu sebagai pilihan terbaik untuk mengetengahkan pemain tempatan berkualiti untuk diberi pendedahan dalam setiap kejohanan.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen