Persembahan cemerlang yang ditampilkan, khususnya dalam Sukan Para Asia Indonesia, Oktober lalu, mahu diteruskan oleh jurumudi berbasikal para negara, Nurul Suhada Zainal, pada musim 2019.

Nurul Suhada, yang digandingkan dengan Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais sejak pertengahan tahun ini, dijangka terus menjadi sandaran utama musim 2019.

Ia susulan kejayaan mereka meraih tiga emas dan satu perak dalam Sukan Para Asia Indonesia yang berlangsung di Velodrom Antarabangsa Jakarta.

Kini dia berharap tuah di Velodrom Antarabangsa Jakarta sekali lagi berulang untuk Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2019 yang dijadualkan pada pertengahan Januari ini.

"Jurulatih telah memberikan sasaran kepada kami untuk meraih mata bagi memastikan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya.

Setakat ini, Malaysia sudah mengesahkan satu slot ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 menerusi skuad lelaki yang menduduki ranking keenam Asia selepas berakhirnya musim 2018.

Skuad wanita terlepas slot berkenaan selepas tidak berada dalam kelompok tiga terbaik yang ketika ini dihuni China, Korea Selatan dan Jepun.

Begitupun, Nurul Suhada percaya saingan musim 2019 dapat membantu skuad berbasikal wanita para negara untuk cuba merebut slot berkenaan.

"Dalam saingan ACC, kami akan cuba memberikan yang terbaik dan melakukan catatan masa terpantas bagi menjadi penanda aras untuk bersaing dengan pelumba dari Eropah."