Atlet menembak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Nur Suryani Mohd Taibi, sedia untuk kembali dalam program Majlis Sukan Negara (MSN) sekiranya masih diberi kepercayaan mampu mengharumkan nama negara.

Enggan memikirkan kemelut di antara dirinya, Muslifah Zulkifli dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim terhadap Institut Sukan Negara (ISN), Nur Suryani hanya mahu segera kembali fokus kepada prestasi dan latihan.

Dia tidak menolak untuk kembali menjalani program di bawah MSN sekiranya diberi peluang di samping akan terus berusaha untuk terpilih ke Sukan Komanwel 2018 sebelum senarai nama akhir diputuskan bulan depan.

Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2017 ini juga tetap menghargai tunjuk ajar yang masih diterima daripada jurulatih negara, Mohd Sabki Mohd Din.

"Persatuan memerlukan atlet-atlet yang mampu mengharumkan nama negara, saya cuba untuk bertindak secara profesional dan memberikan yang terbaik," katanya.

Nur Suryani masih lagi dalam proses mendapatkan kembali prestasi terbaiknya selepas berakhir Sukan SEA dan terbaru, dia berjaya memenangi pingat emas bagi acara 50m rifle prone dalam Terbuka Selangor 2017 selepas membidik 587.36 mata, Jumaat lalu.

"Agak mencabar kerana faktor angin tetapi kesabaran ketika membidik, saya bersyukur berjaya meraih kemenangan ini," katanya lagi.