Nur Amirul muncul pelumba tempatan terbaik

Oleh Staff Writer 18 Oktober 2016 3
Nur Amirul muncul pelumba tempatan terbaik
Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Amirul Fakhruddin, tidak menafikan rasa kecewa meskipun muncul pelumba tempatan terbaik pada peringkat pertama perlumbaan Jelajah Malaysia 2016.

Meskipun tidak membariskan kelibat Anuar Manan serta Adiq Hussainie Othman dalam saingan kali ini, TSG tetap dianggap antara pasukan yang mampu untuk memberikan tentangan sengit.

Apatah lagi pembabitan gandingan adik beradik Harrif serta Zamri Salleh pastinya menjadi tumpuan untuk memperoleh mata bagi saingan pecut.

Namun, pada peringkat terpanjang dalam saingan Jelajah Malaysia kali ini, Nur Amirul berjaya merebut peluang menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Pencapaian itu menyaksikan dia kini menyarung jersi merah selaku pelumba tempatan terbaik tetapi pada masa sama, dia berasa kecewa kerana gagal mencapai misi pasukan, iaitu memburu kedudukan podium.

"Alhamdulillah saya berjaya mendapat tempat keempat. Sebenarnya pasukan saya hari ini mensasarkan kedudukan podium tetapi tiada rezeki. Saya hanya menyasarkan untuk menaiki podium, tidak menyasarkan untuk menyarung apa-apa jersi," katanya.

Cabaran seterusnya buat Nur Amirul sudah pasti untuk mempertahankan jersi merah itu untuk baki empat lagi perlumbaan.

Peringkat kedua dari Sungai Siput menuju ke Cameron Highlands lebih menekankan kepada kepakaran untuk mendaki dan Nur Amirul berharap dia mampu untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok utama bagi mengekalkan momentumnya.

"Rasaya saya tidak melakukan apa-apa kesilapan, cuma saya sukar sedikit untuk mengawal perlumbaan kerana pasukan lain membariskan dua atau tiga pelumba dan yang menyertai jelajah kali ini kebanyakannya adalah pakar-pakar mendaki.

"Mungkin saya akan menyimpan sedikit tenaga untuk peringkat seterusnya dan yang paling penting ketika penamat di Terengganu." 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen